Jumaat, 13 November 2015

Renungkan dan Bersyukurlah..

Bismillah..

Setiap manusia seharusnya selalu mengingati nikmat yang Allah kurniakan kepadanya kerana nikmat kurniaannya itu meliputi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Bahkan tubuh badan yang sihat, negara yang aman damai, udara dan air yang bersih merupakan antara banyak nikmat lain yang telah dikurniakanNya.

            …sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghituungnya…  (Ibrahim:34)
            Begitu banyaknya nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada engkau. Dunia ini berserta apa yang ada di dalamnya telah diciptakan Allah untuk engkau, tetapi anda tidak pernah menyedarinya. Begitu juga engkau menguasai kehidupan, tetapi engkau tidak menyedarinya.

            …Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik yang zahir mahupun yang batin….  (Luqman:20)

            Engkau telah diberikan sepasang mata, satu lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.

            Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan? 
(Ar-Rahman:13)

Apakah engkau merasa bahawa berjalan dengan kedua-dua kaki itu merupakan sesuatu yang biasa padahal masih banyak manusia lain tidak mempunyai kaki?

Apakah engkau mengirakan bahawa berdiri tegak di atas kedua betis itu merupakan sesuatu yang mudah padahal masih banyak manusia yang kehilangan betisnya?

Apakah engkau merasai nikmatnya tidur dengan memejamkan kedua-dua mata sementara masih banyak manusia yang tidak dapat tidur kerana sakit yang mengganggunya?

Pernahkah engkau merasa hina ketika engkau dapat menyantap makanan yang lazat dan minuman sejuk, sementara masih banyak orang lain yang tidak dapat makan dan minum hanya kerana penyakit yang mereka deritai?

            Renungkanlah! Betapa besarnya fungsi pendengaran di mana Allah menjauhkan engkau dari ketulian; penglihatan engkau terhindar dari kebutaan; dan ingatlah kulit engkau yang cantik yang terhindar dari penyakit gatal dan kudis. Perhatikan juga fungsi otak engkau!  Allah telah memberikan kesihatan akal sehingga terhindar dari kegilaan yang menghinakan. Adakah engkau ingin menggantikan matamu dengan emas sebesar gunung Uhud? Inginkah engkau menjual pendengaranmu dengan harga perak satu bukit? Apakah engkau mahu membeli istana-istana yang menjulang tinggi dengan lidahmu, sebagai balasan engkau akan bisu? Apakah engkau mahu menukar kedua tanganmu dengan butiran-butiran permata dan berlian, tetapi tanganmu kudung?

            Engkau sebenarnya telah mengecapi nikmat yang tiada terhitung dan kesempurnaan tubuh badan, tetapi sayangnya engkau tidak menyedarinya. Bahkan, engkau hidup dalam ketidakpastian dan terperangkap dalam kesedihan. Padahal engkau masih memiliki roti untuk dimakan, air yang segar untuk diteguk, dapat tidur dengan nyenyak, dan kesihatan yang stabil.

            Engkau seringkali memikirkan sesuatu yang telah hilang sehinggakan engkau lupa mensyukuri apa yang engkau miliki. Engkau merasa sedih kerana kekurangan harta, sedangkan engkau masih memiliki kunci kebahagiaan, memiliki setompok kelebihan, kenikmatan dan masih banyak yang lainnya. Oleh sebab itu, renungkanlah dan bersyukurlah!

            Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah. Apakah kalian tidak memerhatikannya.. (Ad-Dzariyat:21)                                           

Lihatlah dirimu, keluarga, tempat tinggal, pekerjaan, kesihatan, sahabat dan dunia sekelilingmu. Dan janganlah engkau termasuk dalam golongan yang Allah nukilkan di dalam Surah Al-Nahl, ayat 83;


            Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal daripada Allah, tetapi mereka mengingkarinya….

sSumber daripada buku 'La Tahzan' tulisan Dr. 'Aidh bin Abdullah Al-Qarani

Khamis, 12 November 2015

Daku Kembali dan Mahu Terus di sini..

Bismillah....

Dah bertahun blog ni terbiar..
Dan dah dekat sebulan juga saya cuba kuatkan semangat untuk kembali menulis..

Saya menulis di blog ini bukan saja2..
Saya menulis bukan untuk mencari rezeki..
Apatah lagi untuk dikenali..

Tetapi..
Saya menulis kerana Allah..
Saya menulis kerana mahu berkongsi ilmu..
Saya menulis kerana mahu berdakwah..

Moga2 apa yang saya tulis nanti akan menjadi...
  ilmu yang bermanfaat buat seseorang..
  pencerahan buat yang mencari kebenaran (Islam)..
  muhasabah diri buat yang mencari pedoman..

Apa yang paling penting..
Moga semua perkongsian yang saya siarkan,
Menjadi wadah mencapai redha Illahi,
Dan menjadi bekal pahala untuk sampai ke syurga,
Aamiin..

Hidup di dunia singkat bukan?
Berapa lama kita (manusia) ini boleh hidup?
60 tahun? 70 tahun? 80 tahun?
Paling lama pun yang kita pernah tahu hanya 100++ tahun kan?

100 tahun??
Ya, panjang betul umur orang itu kan kita rasa?
Itu yang kita rasa..
Yang kita fikir dan yang kita sangka...

Hakikatnya..
Kehidupan di akhirat tersangatlah lama..
Tersangatlah panjang..
Bayangkanlah beribu-ribu tahun berdiri padang mahsyar!!
Infiniti hidup di syurga atau di neraka!!

Maka..
Saya putuskan untuk kembali menulis..
Meluang beberapa minit di dunia ini..
Untuk mendapat manfaat beberapa tahun di akhirat kelak..

Allah..
Tamak kan saya ni?
Tapi inilah pelaburan kita..
Sungguh Allah itu Maha Pemurah..
Jadi rebutlah peluang dan ruang yang diberikan..
Moga kita sama2 mendapat rahmatNya..
Aamiin..

Kali ini,
Saya kembali..
Sebagai seorang isteri..
Sebagai seorang ummi..
Doakan moga saya istiqomah (konsisten)
Dalam medan kecil ini..
Kerana saya mahu terus di sini..
Mencari bekalan untuk bahagia di negeri abadi..

Sabtu, 13 Mac 2010

Masuk Islam atau Masuk Melayu?

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....

Pernahkah anda ditanya, "Adakah anda akan keluar daripada Islam untuk berkahwin dengan kekasih anda yang bukan Islam?"

Soalan inilah yang saya terima 2 minggu lalu daripada seorang rakan non-muslim. Soalan tersebut diajukan kepada saya apabila saya memberitahu duduk perkara sebenar hubungan baik saya dengan seorang lelaki non-muslim yang mendapat tentangan keluarga kedua belah pihak. Saya dan seorang sahabat yang menemani saya pada ketika itu sangat terkejut dengan persoalan itu. Saya sempat melihat wajah sahabat saya berubah keruh. Saya?

Saya tersenyum dan berlagak seperti biasa. Tidak sampai hati mahu mengatakan padanya bahawa lelaki non-muslim yang berkawan baik dengan saya itu sedang berjinak-jinak dengan Islam. Maka, saya tidak membiarkan mad'u saya menanti lama-lama jawapan daripada saya. Saya menjawab;

"Sebab itu saya lebih prefer bercinta selepas berkahwin. Lagipun saya dapati kebanyakan pasangan bila bercinta sebelum berkahwin, banyak yang hipokrit. Plastik! Pijak semut pun tak mati time bercinta. Tapi... bila sudah berkahwin, gajah pun takut nampak muka dia. Hehe.."

Mereka saling berpandangan. (Untuk pengetahuan, rakan non-muslim ini adalah sepasang tunang yang sudah tinggal bersama hampir tiga tahun. Mereka lebih tua daripada saya.)

Saya menyambung, "Bukan apa, perasaan cinta ini sukar dikawal. Manusia sanggup gadaikan apa saja untuk mendapatkan dan mempertahan cinta. Sanggup gadaikan maruah, sanggup bunuh orang dan hilang kewarasan sampai boleh buat perkara-perkara yang diluar batasan. Sebab itu saya tidak mahu bercinta sebelum berkahwin. Dan saya tidak akan sesekali ubah agama yang saya anuti sejak kecil ini semudah itu kerana cinta. Kalau saya nak ubah agama pun (Nauzubillah,dalam hati), saya akan ubah kerana saya mendapati agama itu benar dan bukan kerana cinta semata-mata!"

Mendengarkan jawapan saya, mereka mengangguk tanda faham. Ada banyak perkara yang ingin sekali saya jelaskan pada mereka tetapi saya tahan hati kerana percaya itu bukan yang bijaksana. Saya bukan sekadar muslim yang menganuti Islam kerana dilahirkan sebagai muslim. Saya muslim kerana saya percaya dan inginkan Islam! Sesuatu yang tidak akan bisa mereka fahami. Si lelaki ini bertanya lagi kepada saya, "Tapi, andai kata awak masuk agama lelaki itu, adakah awak akan buka tudung dan pakai pakaian seperti kaumnya?" Saya sangat faham mengapa dia bersungguh-sungguh bertanyakan saya soalan itu. Dia tahu yang saya sedang mempelajari agamanya. Sebenarnya bukan belajar, tapi mengkaji!  

Sungguh saya yang dulu sudah pasti sangat tidak selesa bila ditanya soalan sebegitu. Namun, alhamdulillah sejak mengikuti kursus dakwah, saya rasa soalan-soalan sebegitu sangat memberi ruang kepada saya untuk memperkenalkan Islam kepada mereka, rakan non-muslim. Saya bertanya kepadanya, "Perlukah saya menukar bangsa saya kepada bangsa dia? Menjadi seperti bangsanya sedangkan saya lahir-lahir dalam bangsa Melayu?" Dia membisu seketika. "Kalau orang Melayu pula macam mana?"

Saya tersenyum dan membalas, "Bila non-muslim masuk agama Islam, mereka tidak perlu tukar bangsa." Lelaki itu tidak puas hati dan bertanya lagi, "Bukankah orang Cina atau India yang masuk Islam perlu tukar race kepada Melayu ke? Yang perempuan perlu cover their head?"

"Bila masuk Islam tidak bermakna orang itu perlu jadi orang Melayu. Islam itu bukan milik orang Melayu. Contohnya, kalau orang Eropah atau Jepun masuk Islam, mereka perlu tukar kepada bangsa apa? Bangsa Melayu? Bangsa Arab?" Mereka mengangguk kepala. Saya menyambung, "Lagipun sekarang ni bukan semua orang Melayu itu Islam." Mereka terkejut dengan kenyataan saya.

"Seperti orang Cina dan India la.... Tidak semestinya orang Cina itu Buddhist, bukan?" Mereka mengangguk. Dan saya menyambung lagi jawapan yang belum habis, "Kalau awak berdua nampak perempuan bukan Melayu yang masuk Islam bertudung tu, itu bukan bermakna mereka sudah jadi orang Melayu tetapi mereka sudah menjadi seorang muslim yang sebenar. Perintah menutup kepala itu adalah kewajipan dalam Islam, bukan dalam budaya orang Melayu.... Blah..blah..blah.."

Banyak lagi perbincangan kami selepas itu. Kebanyakannya kepada sikap muslim yang memilih untuk tidak mentaati perintah agama. Mungkin saya boleh kongsikan dalam post yang lain pula (jika berkesempatan). Antara yang turut dibincangkan ialah peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia. Dalam perlembagaan Malaysia, yang dikatakan Melayu itu ialah yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan budaya/cara hidup Melayu. Pada saya, tidak perlu dipertikaikan Perlembagaan Malaysia ni. Ada baik juga pada pandangan saya Melayu disebut sebegitu atas beberapa sebab yang agak sensitif untuk dibicarakan di sini. Hehe.. Namun saya melihat, tiga perkara tersebut akan saling menjaga antara satu sama lain, sama ada Melayu dan Islam-nya.

Ok, apa yang saya nak tekankan di sini, masih ramai non-muslim yang beranggapan bahawa apabila masuk Islam, perlu jadi orang Melayu. Hal inilah yang menyebabkan kebanyakan keluarga mualaf rasa sangat kesal. Akhir kalam, saya kukuhkan hujah saya tadi dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Hujurat, 49:13.
"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorng lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui, Maha Teliti."
Wallahu'alam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...